...السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
♥بسم الله الرحمن الرحيم♥
♥بسم الله الرحمن الرحيم♥
Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH dengan qudrah & iradahnya hari ini jari jemari saya mampu lagi menaip kata-kata diruang usang maya ini. Agak teruja menggunakan meja mini laptop pemberian daripada ayahanda sempena ulang tahun kelahiran beberapa hari yang lepas, sekaligus membuatkan hati terasa ingin berkongsi sesuatu.
Nikmat usia
Alhamdulillah, tiada yang layak menerima pujian melainkan-Nya. Pelbagai nikmat telah dikurniakan oleh ALLAH kepada diri ini sepanjang menjalani hidup di muka bumi . Sesungguhnya, nikmat umur yang dikurniakan ini sebenarnya menunjukkan bahawa betapa semakin hampirnya saya untuk menemui-Nya. Bila mengenang akan dosa, rasa tidak layak sungguh untuk mengecapi semua nikmat dari-Nya. Namun, keyakinan dari hati bahawa ALLAH adalah Maha Pengampun & Maha Penerima Taubat hamba-Nya membuatkan diri berusaha untuk menjadi hamba yang terbaik disisi ALLAH yang Esa. InsyaALLAH.
Perjuangan yang belum selesai & tidak akan selesai
InsyaALLAH, kurang lebih sebulan sahaja lagi saya bakal terbang semula ke Madinatul Ahlam. Sangat rindu akan suasana disana. Rindu untuk kembali ke kuliah & ini merupakan tahun terakhir yang bagi saya lebih hebat ujian & perjuangan yang perlu saya lalui. Tiada yang lebih indah, berbekalkan semangat & dorongan dari ayah bonda, keluarga, sahabat-sahabat untuk meneruskan perjuangan ini. Menjadi lumrah, kadang terasa lemah & sedih hidup jauh di perantauan. Namun, selalu pujuk hati bahawa ALLAH sentiasa bersama mereka yang berjuang dalam menuntut ilmu. Tiada yang mudah dalam bermujahadah. Semoga saya & sahabat-sahabat seperjuangan berjaya menjadi generasi Azhari yang soleh & solehah, bukan sahaja berbekalkan segulung syahadah tapi ilmu yang barakah terlekat didada yang dapat dimanfaatkan & disampaikan kepada anak bangsa di Tanah Air tercinta.
Kurniaan sahabat
Kurniaan sahabat daripada-Nya. Ada sahabat suka & duka. Ada sahabat berkongsi ketawa & air mata. InsyaALLAH, sahabat-sahabat yang saya sayang kerana-Nya. Sahabat-sahabat yang saya ingin bersamanya hingga ke syurga, insyaALLAH. Namun, maafkan saya andai diri ini tidak layak dinamakan sahabat jika selalu membuat dirimu terleka, lalai, tidak membantu saat kamu memerlukan, tidak menegur segala kesilapan malah terus membiarkan. Saya bukan sahabat yang baik jika itu semua kamu lihat dalam diri saya. Maafkan saya. Terima kasih tidak terhingga untuk segala nasihat & teguran yang dihulurkan.
ALLAH sedang cemburukan saya
Begitulah lumrah insani yang ada dalam diri ini. Insan yang sering lalai & leka. Insan yang memang sifatnya mudah lupa. Syukur ALLAH menjaga hati ini, syukur ALLAH ambil peduli, syukur ALLAH masih memberi peluang untuk memperbaiki diri. Mungkin kesilapan diri sendiri meminta itu & ini, bila ALLAH beri tapi tak dijaga dengan rapi. Hati ini sangat rapuh, ampunkanlah dosa-dosaku Ya ALLAH! Sungguh dalam esak & tangis menyesal akan segala khilaf. Bertanya pada diri, apa perlu aku menangis saat ALLAH telah mengambil semula apa yang aku minta? Mungkin naluri wanita menyebabkan titis-titis jernih selalu jadi peneman setia. Kekuatan dari dalam lebih menguasai diri untuk saya sedar bahawa setiap apa ketentuan ALLAH pasti ada hikmahnya. Lantas tersenyum supaya saya sentiasa bahagia dan yakin bahawa saya tidak sendiri kerana ALLAH setia menemani.
Terapi hati & jiwa
Dengan ujian demi ujian saya belajar erti kehidupan. Hidup kadang perlu berkorban. Tinggalkan sesuatu yang pada kita baik untuk kita tapi sebenarnya lebih membawa kemudaratan dalam jiwa. Pengharapan kepada manusia selalu buat kita kecewa dan ingatlah, gantungkan segala pengharapan kita kepada AllAH kerana Dia tidak pernah biarkan kita sengsara. Memang tangisan selalu menenami saat kita sedih & bermuram durja. Bersangka baik dengan perancangan ALLAH, memaafkan, sentiasa bersikap positif & ingat bahawa perancangan ALLAH lebih baik dari apa yang kita jangka. Memang nampak susah, tapi sentiasa cuba untuk menjadi hamba yang sentiasa Redha dengan ketentuan-Nya.
p/s : Maaf andai penulisan ini terlalu mengikut emosi kerana blog ini selalu sahaja jadi tempat luahan hati. Sekadar menulis untuk mengingatkan diri sendiri. Ambillah apa yang baik & bermanfaat, tegurlah mana yang terkurang. Semoga ALLAH pelihara hati ini :)
NaNa(^_^)v