Tuesday, 4 October 2011

Janji-janjiNya yang pasti!

...السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 ♥بسم الله الرحمن الرحيم♥


Kita belajar dari kehidupan. Belajar akan erti hidup dari pengalaman, sama ada pengalaman yang kita lalui sendiri atau mengambil iktibar dari pengalaman orang lain. Bila kita merasa ujian yang kita terima sangat membebankan, cuba lihat disekeliling kita kerana ada insan yang lebih teruji & lebih dasyat ujian yang mereka lalui. Namun yang pasti, ingatlah firman ALLAH yang bermaksud :
"ALLAH tidak akan menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kesanggupan mereka"(Al-Baqarah: 286)
Kenapa aku diuji lagi? Kenapa perkara yang sama aku perlu hadapi? Kenapa? Kenapa? Kenapa?. Siapalah kita yang layak mempersoalkan kenapa semua yang menimpa kita itu terjadi. Sedangkan hikmah pasti ada dengan setiap apa yang berlaku. Mungkin ujian yang sama lagi kita hadapi, entah mana silapnya, entah apa lagi yang tidak kena. Mungkin juga dengan ujian yang sama itulah membuatkan kita lebih kuat! Jangan lemah & berputus asa, sesungguhnya Rahmat ALLAH itu luas. Jangan sempitkan fikiran dengan melayan perasaan sedih hingga nikmat lain yang ALLAH kurniakan, kita abaikan. Teruslah bersyukur walau saat kita ditimpa musibah. Ingatlah juga janji ALLAH dalam firmannya yang bermaksud :
"Barang siapa bertaqwa kepada ALLAH, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mencukupkannya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu"(At-talaq: 3)
Tatkala hati merasa pedih, sedih dan air mata sahaja yang selalu menemani. Rasa tidak tertanggung dengan ujian. Menangis tidak salah, menangislah. Tapi jangan sia-siakan tangisan kita, melainkan menangis hanya kerana menyesal akan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Mungkin ujian yang kita terima adalah teguran daripada ALLAH. Walau dalam keadaan apa sekali pon, ingatlah bahawa ALLAH sentiasa bersama kita. Kembalilah pada ALLAH , mohonlah apa sahaja dan mengadulah sepuas-puasnya kepada-Nya kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Yakinlah dengan firman ALLAH yang bermaksud :
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku(ALLAH) sentiasa hampir(kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu(dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mendapat petunjuk"
(Al-Baqarah:186)
Peganglah janji ALLAH! janji ALLAH buat hamba-Nya yang selalu dekat pada-Nya, yang taat akan perintah-Nya, yang sentiasa mengharap Rahmat & Redha-Nya. InsyaALLAH, janji ALLAH pasti bersama kita.

p/s : Saya suka mendengar , membaca dan belajar dari kisah, cerita atau pengalaman orang lain. Bila saya rasa sedih dengan ujian yang saya hadapi, saya akan ingat mereka yang lebih hebat lagi diuji. Alhamdulillah, dengan ujian… ALLAH mendidik kita supaya menjadi hamba yang selalu tenang, sabar dan redha dengan setiap ketentuan-Nya.

Buat sahabat-sahabat saya yang sedang bersedih, sabarlah dalam bersabar. Sungguh praktis sabar tidak semudah sebutannya. Apa pun, moga-moga dipermudahkan dan diberi kekuatan yang berterusan. Sabar ya teman! InsyaAllah, ada keindahan dan kemenangan. Kesabaran itu kadangkala pahit namun hakikatnya ia manis, lebih manis dari madu.

Jangan menunggu bahagia baru tersenyum tapi senyumlah agar kamu bahagia :)

NaNa(^_^)v

Wednesday, 28 September 2011

Nikmat & Hikmah

...السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
♥بسم الله الرحمن الرحيم♥

Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH dengan qudrah & iradahnya hari ini jari jemari saya mampu lagi menaip kata-kata diruang usang maya ini. Agak teruja menggunakan meja mini laptop pemberian daripada ayahanda sempena ulang tahun kelahiran beberapa hari yang lepas, sekaligus membuatkan hati terasa ingin berkongsi sesuatu.

Nikmat usia

Alhamdulillah, tiada yang layak menerima pujian melainkan-Nya. Pelbagai nikmat telah dikurniakan oleh ALLAH kepada diri ini sepanjang menjalani hidup di muka bumi . Sesungguhnya, nikmat umur yang dikurniakan ini sebenarnya menunjukkan bahawa betapa semakin hampirnya saya untuk menemui-Nya. Bila mengenang akan dosa, rasa tidak layak sungguh untuk mengecapi semua nikmat dari-Nya. Namun, keyakinan dari hati bahawa ALLAH adalah Maha Pengampun & Maha Penerima Taubat hamba-Nya membuatkan diri berusaha untuk menjadi hamba yang terbaik disisi ALLAH yang Esa. InsyaALLAH.

Perjuangan yang belum selesai & tidak akan selesai

InsyaALLAH, kurang lebih sebulan sahaja lagi saya bakal terbang semula ke Madinatul Ahlam. Sangat rindu akan suasana disana. Rindu untuk kembali ke kuliah & ini merupakan tahun terakhir yang bagi saya lebih hebat ujian & perjuangan yang perlu saya lalui. Tiada yang lebih indah, berbekalkan semangat & dorongan dari ayah bonda, keluarga, sahabat-sahabat untuk meneruskan perjuangan ini. Menjadi lumrah, kadang terasa lemah & sedih hidup jauh di perantauan. Namun, selalu pujuk hati bahawa ALLAH sentiasa bersama mereka yang berjuang dalam menuntut ilmu. Tiada yang mudah dalam bermujahadah. Semoga saya & sahabat-sahabat seperjuangan berjaya menjadi generasi Azhari yang soleh & solehah, bukan sahaja berbekalkan segulung syahadah tapi ilmu yang barakah terlekat didada yang dapat dimanfaatkan & disampaikan kepada anak bangsa di Tanah Air tercinta.


Kurniaan sahabat

Kurniaan sahabat daripada-Nya. Ada sahabat suka & duka. Ada sahabat berkongsi ketawa & air mata. InsyaALLAH, sahabat-sahabat yang saya sayang kerana-Nya. Sahabat-sahabat yang saya ingin bersamanya hingga ke syurga, insyaALLAH. Namun, maafkan saya andai diri ini tidak layak dinamakan sahabat jika selalu membuat dirimu terleka, lalai, tidak membantu saat kamu memerlukan, tidak menegur segala kesilapan malah terus membiarkan. Saya bukan sahabat yang baik jika itu semua kamu lihat dalam diri saya. Maafkan saya. Terima kasih tidak terhingga untuk segala nasihat & teguran yang dihulurkan.


ALLAH sedang cemburukan saya

Begitulah lumrah insani yang ada dalam diri ini. Insan yang sering lalai & leka. Insan yang memang sifatnya mudah lupa. Syukur ALLAH menjaga hati ini, syukur ALLAH ambil peduli, syukur ALLAH masih memberi peluang untuk memperbaiki diri. Mungkin kesilapan diri sendiri meminta itu & ini, bila ALLAH beri tapi tak dijaga dengan rapi. Hati ini sangat rapuh, ampunkanlah dosa-dosaku Ya ALLAH! Sungguh dalam esak & tangis menyesal akan segala khilaf. Bertanya pada diri, apa perlu aku menangis saat ALLAH telah mengambil semula apa yang aku minta? Mungkin naluri wanita menyebabkan titis-titis jernih selalu jadi peneman setia. Kekuatan dari dalam lebih menguasai diri untuk saya sedar bahawa setiap apa ketentuan ALLAH pasti ada hikmahnya. Lantas tersenyum supaya saya sentiasa bahagia dan yakin bahawa saya tidak sendiri kerana ALLAH setia menemani.

Terapi hati & jiwa

Dengan ujian demi ujian saya belajar erti kehidupan. Hidup kadang perlu berkorban. Tinggalkan sesuatu yang pada kita baik untuk kita tapi sebenarnya lebih membawa kemudaratan dalam jiwa. Pengharapan kepada manusia selalu buat kita kecewa dan ingatlah, gantungkan segala pengharapan kita kepada AllAH kerana Dia tidak pernah biarkan kita sengsara. Memang tangisan selalu menenami saat kita sedih & bermuram durja. Bersangka baik dengan perancangan ALLAH, memaafkan, sentiasa bersikap positif & ingat bahawa perancangan ALLAH lebih baik dari apa yang kita jangka. Memang nampak susah, tapi sentiasa cuba untuk menjadi hamba yang sentiasa Redha dengan ketentuan-Nya.

p/s : Maaf andai penulisan ini terlalu mengikut emosi kerana blog ini selalu sahaja jadi tempat luahan hati. Sekadar menulis untuk mengingatkan diri sendiri. Ambillah apa yang baik & bermanfaat, tegurlah mana yang terkurang. Semoga ALLAH pelihara hati ini :)

NaNa(^_^)v

Monday, 19 September 2011

Realiti : Dunia semakin rosak!

...السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
♥بسم الله الرحمن الرحيم♥

Islam itu mudah & Islam itu indah, tapi kenapa kita susah sangat nak ikut perintah ALLAH? Sedih. Realiti sekarang orang jadi pelik! pelik sangat bila lihat orang ikut perintah ALLAH, bila orang amalkan sunnah Rasulullah.
Biar pelik dimata manusia tapi mulia disisi yang Esa
Bila kebaikan datang depan mata, sedaya upaya mahu lari jauh-jauh. Bila ada yang datang memberi nasihat, langsung tidak diendahkan. Tak tahu apa yang nak dikejar di dunia ni. Nama, pangkat, harta? Kita mengaku Islam, tapi kenapa tak mahu dekati tak mahu mencari apa nilai-nilai murni pada agama yang kita anuti itu sendiri? Serius sedih!
Nasihat Luqman Al-hakim, Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan"
Semua ingin ke Syurga & ingin membawa insan-insan yang kita sayang ke sana. Itu lah juga harapan & impian saya. Adakah kita rela melihat ayah yang banyak berkorban membesarkan kita dengan penuh kasih sayang ke neraka semata-mata hanya menanggung dosa kita didunia? Kita rela suami yang kita kahwini, yang kita cintai, yang memberi nafkah kepada kita terjerumus ke neraka kerana dosa-dosa kita?. Sama-sama jaga agama, jaga adab, jaga pandangan, jaga pemakaian, jaga hati kita.
احفظ الله ﻳﺤﻔﻈﻚ
Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu.
Sedarilah bahawa dunia ini sementara, sekadar tempat kita mengumpul amal untuk bekalan ke akhirat kampung halaman yang kekal selamanya. Pohonlah Rahmat & RedhaNya agar kita diberi nikmat syurga & dijauhkan dari azab api neraka.
"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."(Al-Mukmin : 39)
Sama-samalah perbaiki diri, sama-samalah jauhi segala maksiat & kemungkaran. Kembalilah kepada ALLAH, sungguh ALLAH Maha Pengampun & Penyayang. DIA sentiasa menerima kita & sentiasa berada bersama kita.
"(ALLAH) Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali."(Al-Mukmin : 3)
Saya bukanlah seorang yang terbaik untuk memberi nasihat, saya juga sering terlupa & terleka, pernah di uji & pasti akan diuji Tuhan untuk menilai sejauh mana kuatnya iman. Saya seorang manusia biasa yang kadang turun & naik tahap keimanannya. Betapa rapuh iman manusia.
"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."- Imam Hasan al-Basri-
Pilihlah!

p/s : Bacalah apa sahaja bentuk penulisan (terutamanya tentang agama, nasihat, motivasi dll) dengan tenang. Pasti kamu akan dapat merasa kesedaran, pasti kamu mampu menerima dengan hati yang terbuka & senang menerima apa yang disampaikan. Mungkin saat jari jemari ini lancar mengetuk papan kekunci tapi hakikatnya diri ini sendiri tidak lari dari khilaf & dosa.
Allahummaghfirli zunubi!

NaNa(^_^)v
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...